Ratu Syahadah...

Ratu syahadah lalu bermadah...

" Oh, Tuhan binakan istana untukku...walaupun di dunia ku diseksa, namun tak terbayar nikmat di syurga..."

PERMAISURI Asiah ialah isteri kepada Firaun. Beliau dikahwini oleh Firaun sejak kecil lagi, iaitu ketika berusia 12 tahun. Ketika Firaun sedang hebat melancarkan pembunuhan anak lelaki Bani Israel beramai-ramai, permaisuri Asiahlah yang menyambut Nabi Musa ketika dihanyutkan di Sungai Nil dan menahan niat Firaun untuk membunuh baginda.

Nabi Musa diambil sebagai anak angkat oleh permaisuri Asiah dan Firaun sendiri. Permaisuri Asiah telah menerima ajaran Nabi Musa dan beriman kepada Allah SWT. Akan tetapi permaisuri Asiah menyembunyikan keimanannya daripada pengetahuan suaminya Firaun.

Lama kelamaan, Firaun mengetahui juga bahawa permaisurinya telah menerima ajaran Nabi Musa dan beriman kepada Allah SWT. Firaun menjadi murka terhadap Permaisuri Asiah.

Lalu Firaun pun pergi menemui ibu Permaisuri Asiah dan menceritakan bahawa isterinya itu telah menderhakainya. Mendengar akan berita itu, ibu Permaisuri Asiah datang menemuinya,

"Wahai anakku, ikut sahajalah kehendak Firaun itu," kata ibunya.

"Aku tidak akan sekali-kali kufur terhadap Allah SWT," jawab Permaisuri Asiah.

Permaisuri Asiah tetap dengan keputusannya iaitu mahu beriman kepada Allah SWT. Pujukan ibunya itu tidak berhasil. Firaun sangat marah, lalu diperintahkan para pegawainya menyalib Permaisuri Asiah di tengah-tengah kota Misra. Firaun mahu penduduknya melihat bahawa dia sanggup menghukum sesiapa sahaja yang menderhakainya walaupun permaisurinya sendiri.

Permaisuri Asiah digantung di atas palang dengan dipaku tangan dan kakinya. Alangkah terseksanya Permaisuri Asiah ketika itu, namun Permaisuri Asiah tetap bersabar dan tetap dengan pendiriannya mahu beriman kepada Allah SWT.

Firaun tidak boleh menahan sabar, lalu diperintahkan para pegawainya menambahkan seksaan ke atas Permaisuri Asiah. Permaisuri Asiyah dipaksa memakan roti barli yang masin dan dikoyakkan kulit kakinya.

Nabi Musa juga menyaksikan penderitaan yang ditanggung oleh Permaisuri Asiah, lalu Nabi Musa berdoa kepada Allah SWT agar Permaisuri Asiyah diberi rahmat oleh-Nya. Allah SWT telah memakbulkan doa Nabi Musa dengan mengarak awan agar melindungi Permaisuri Asiah daripada panas matahari.

Dalam kezaliman Firaun, permaisuri Asiyah berdoa: "Ya Tuhanku, bangunkanlah untukku sebuah rumah disisi-Mu dalam syurga dan selamatkanlah aku daripada Firaun dan perbuatannya dan selamatkanlah aku daripada kaum yang sangat zalim." Demikianlah doa yang hebat daripada seorang wanita bergelar permaisuri. Biarpun beliau mampu untuk kembali kepada agama Firaun dan menikmati kemewahan di istana, beliau menganggap bahawa kemewahan itu bersifat rapuh dan hanya untuk sementara. Cintanya kepada Allah jauh lebih kuat serta memohon syurga di sisi Tuhan Yang Maha Kekal.

Permaisuri Asiah diseksa oleh Firaun sehingga menghembuskan nafasnya yang terakhir. Firaun telah memerintahkan para pengawalnya supaya melontarkan sebiji batu yang besar bagi mengakhiri hidup permaisuri Asiah. Akan tetapi, Allah SWT telah mencabut roh permaisuri Asiyah sebelum batu itu mengenainya.

" Oh Asiah kau merubah rencana... Bila tanganmu menyentuh bayi, yang hanyut menongkah arus Sg.Nil... Lembutmu mematahkan keangkuhannya...Firaun merancang, kau menghalangnya... Musa terbuang, jadi terbilang..."

Comments

Popular Posts

Allah chose you for a reason, so just do everything for His sake, work hard and InshaAllah, everything will be fine.